Album Kedua : Samarkand Kumpulan_Bloodshed

Kerjaya kumpulan Bloodshed diteruskan pada tahun 1988 menerusi album kedua yang diterbitkan oleh M. Nasir dengan judul Samarkand. Dalam album ini, kumpulan ini mengalami perubahan anggota di mana pemain gitar utamanya, Hamdan Yusof meninggalkan Bloodshed dan digantikan oleh Mohd Saufi Ghazalie, seorang pemain gitar tangan kiri yang lebih dikenali sebagai Opie. Opie merupakan bekas anggota kumpulan Scandals yang juga dianggotai oleh Joe (juga gitaris kidal) yang kemudiannya menganggotai kumpulan Wings.

Kemasukan Opie menambahkan lagi sengat dalam Bloodshed apabila album yang memuatkan lagu berhantu Srikandi Cintaku ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Nasir Jani meletup di pasaran apabila mencatatkan jualan yang membanggakan. Lagu ini juga berjaya menduduki takhta Lagu Pujaan 10 Nescafe selama beberapa minggu. Lagu-lagu lain dalam album ini yang mendapat sambutan ialah Samarkand, Tangisan Salju Di Khatulistiwa dan Tanah, Air, Api Dan Angin.